Nafas baru dunia motivasi
Oleh ZULKIFLI MANZOR
utusanpahang@utusan.com.my
PEKAN 15 Jun - Sinergi Islam, pengurusan moden, psikologi dan sains disusuli penggunaan teknologi terkini yang berkonsepkan visual dan simfoni.
Itu antara yang diketengahkan oleh sebuah syarikat kaunseling tempatan, ESQ Leadership Centre Sdn. Bhd. (ESQ) dalam program-program motivasi yang dijalankan sejak empat tahun lalu.
Kaedah tersebut boleh dianggap sebagai satu pendekatan unik diketengahkan syarikat berkenaan hasil daripada kajian-kajian yang dilakukan dan tidak keterlaluan sekiranya ESQ dianggap sebagai satu permulaan era baru buat program motivasi di negara ini ketika ini.
Berbanding kebanyakan program motivasi yang diadakan di negara ini, ia lebih tertumpu kepada sesi ceramah, interaksi sesama rakan peserta selain beberapa atur cara yang bertujuan membina daya semangat dan pemikiran para pesertanya.
Melalui program latihan modal insan ESQ, peserta bukan saja diterap dengan satu bentuk motivasi berlandaskan al-Quran dan hadis tetapi ia turut disemai dengan nilai-nilai psikologi moden serta berteknologi tinggi.
Penulis yang berkesempatan menyaksikan salah satu sesi latihan ESQ di sini baru-baru ini tidak dapat menyangkal bahawa program yang dikendalikan syarikat itu sebagai satu nafas baru buat dunia motivasi tanah air.
Bukan saja bersifat islamiah dan saintifik tetapi pendekatan psikologi yang mendalam diiringi penggunaan teknologi terkini seperti teknik visual dan sistem bunyian yang efektif berjaya merangsang dan mencerna daya pemikiran peserta bagi menyelami isi yang ingin diterjemah ESQ.
Berdasarkan pemerhatian, rata-rata peserta yang menyertai program latihan ESQ pada hari tersebut begitu bersemangat, berdisiplin dan gembira walaupun pada hari pertama program ramai di kalangan mereka didakwa sukar mendengar arahan fasilitator.
Lebih 1,200 peserta terdiri daripada pelajar sekolah di sekitar daerah ini menghadiri program latihan ESQ selama tiga hari bermula 8 Jun dan berakhir pada 10 Jun lalu di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di Pekan itu.
Salah seorang pelatih program berkenaan, Noor Husniyah Abdul Hamid, 17, berkata, dia gembira kerana berpeluang menjalani latihan ESQ kerana lebih memahami mengenai perkara yang baik dan buruk serta yang wajar atau tidak wajar dilakukan.
''Sekarang ini saya berasa diri lebih yakin dan sentiasa mengingati Allah dan pada masa sama, solat saya menjadi semakin khusyuk.
''Latihan ESQ memberi banyak kebaikan dan saya berasa telah melangkah satu tahap ke arah yang lebih positif," katanya ketika ditemui selepas tamat program latihan di sini baru-baru ini.
Rakannya, Shaidatul Analing Rasdi, 17, pula berkata, sebelum ini dia sering lewat menunaikan solat dan selepas menyertai program tersebut dia yakin akan dapat menunaikan tuntutan itu dengan tepat.
Tambahnya, dia juga berasa begitu teruja dengan perjalanan program latihan tersebut kerana di situ dia lebih mengenali kemampuan diri selain berasa positif untuk menjalani kehidupan dengan cemerlang.
''Di sini saya dapat mengenal diri sendiri dan bertuah kerana mengenal Allah dan iman serta iman di dalam diri," katanya.
Seorang lagi peserta, Ahmad Yusri Abd. Rahman, 16, berkata, dia amat berharap dapat menyertai latihan ESQ selepas ini kerana menganggap latihan modal insan itu tidak membosankan, malah membuat dia berasa lebih segar dan bertenaga.
''Dulu saya solat tidak lengkap tetapi syukur kerana di sini solat saya lengkap dan saya juga begitu bersemangat untuk memastikan setiap solat dipenuhi setiap hari," jelasnya.
Rakannya, Wan Muhammad Irfan Wan Zuki, 16, pula berkata, selepas menjalani latihan ESQ, dia kini memahami betapa penting seseorang insan itu menjalani hidup secara jujur, ikhlas, tabah dan tekun.
Katanya, dia bersemangat apabila menghadiri latihan itu kerana ia bukan sekadar mendengar ceramah atau menjalani modul-modul latihan yang telah ditetapkan.
Tetapi, katanya, para peserta dibekalkan dengan aspek kerohanian yang mendalam terhadap ketuhanan melalui pendekatan-pendekatan saintifik.
Sementara itu, Pengurus Besar ESQ, Marhaini Yusoff berkata, ESQ ialah sebuah syarikat mengendalikan latihan modal insan yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 pada 18 September 2006 dengan modal berbayar sebanyak RM1 juta.
Sehingga kini, jelasnya, sebanyak 40,000 rakyat negara ini daripada pelbagai peringkat umur dikatakan telah menjalani latihan ESQ dan ada daripada mereka merupakan peserta yang dihantar oleh organisasi-organisasi terkemuka termasuk agensi kerajaan dan swasta.
Secara umumnya, kata beliau, ESQ adalah sebuah program yang menggunakan pendekatan spiritual dengan merujuk kepada ilmu pengurusan moden, psikologi dan sains tetapi melalui dasar yang paling utama iaitu al-Quran dan hadis.
Katanya, kewujudan ESQ juga antara lain bertujuan bersaing dengan model-model pembentukan modal insan dari Barat dengan harapan mengangkat sebuah model pembentuk karakter sebagai penyelesaian penuh kepada aspek pengurusan hidup di rumah dan juga tempat kerja.
''Pada mulanya kaedah kami mendapat beberapa pandangan negatif daripada pihak-pihak tertentu tetapi selepas mereka melihat sendiri pendekatan yang dilakukan, kini semua berjalan lancar," katanya.
Marhaini berkata, kekuatan ESQ ialah kerana setiap modul latihan diperkembang dan dibangunkan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian dan keperluan masyarakat ketika itu.
Jelasnya, pendekatan latihan modal insan ESQ juga dibuat secara ilmiah iaitu berdasar kajian-kajian saintifik yang dilakukan dari semasa ke semasa dalam usaha mencari formula terbaik untuk membentuk seorang insan yang cemerlang.