ESQ cara mencari keseimbangan dalam diri
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA (WARTAWAN UTUSAN)
MANUSIA sentiasa berlumba-lumba untuk mendapatkan apa yang diingini dalam masa yang pantas tanpa menyedari kehendak mereka itu belum tentu dapat memberi kebahagiaan atau kepuasan diri.
Oleh sebab itu, manusia sentiasa mengalami keresahan dan kegelisahan yang luar biasa sehingga menyebabkan mereka terasing daripada diri sendiri.
Keadaan itu mengakibatkan wujudnya fenomena seperti gangguan jiwa, moral dan masalah sosial di kalangan mereka yang tidak mengira usia, pangkat mahupun tahap pendidikan.
Masyarakat pula sering membangkitkan sebab wujudnya masalah sosial seperti rasuah, penagihan dadah ataupun membunuh dan cenderung menyalahkan sesuatu pihak apabila ia terjadi.
Sering kali juga kita cuba mencari jawapan kepada segala permasalahan yang wujud di kalangan masyarakat hari ini kerana ia sukar diselesaikan.
Sama ada sedar atau tidak, kecerdasan emosi dan rohani atau Emotional and Spiritual Quotient (ESQ) yang tidak seimbang sebenarnya punca kepada berlakunya masalah tersebut dan kegagalan manusia mencari jawapan kepada apa yang diperlukan dalam hidup.
ESQ juga sebenarnya amat berhubung kait dengan pembangunan modal insan yang membentuk peribadi manusia yang baik dan masyarakat boleh dilatih supaya kecerdasan emosi dan rohani dapat diseimbangkan.
Di Malaysia, pembangunan modal insan mula diperluaskan oleh pemimpin kerajaan kerana mahu rakyat negara ini sedar betapa pentingnya mempunyai keperibadian diri yang unggul dalam membangunkan negara.
Menyedari perkara itu, ESQ Leadership Center Sdn. Bhd., sebuah syarikat konsultan, mula memperkenalkan latihan bercorak pembangunan modal insan kepada pelbagai golongan masyarakat di negara ini terutamanya profesional dan pelajar.
Pencarian
Pengurus Besarnya, Marhaini Yusoff berkata, modul latihan ESQ Way 165 mula diasaskan oleh seorang ahli akademik dari Indonesia, Dr. Ary Ginanjar Agustian, yang memulakan pencarian sebenar erti kehidupan diri sendiri sejak zaman remajanya lagi.
Latihan tersebut yang berteraskan ajaran agama Islam diperkenalkan bertujuan melahirkan manusia yang unggul dari sudut emosi dan kerohanian dengan cara mengembangkan potensi diri.
Angka 165 merupakan simbol bagi satu hati yang ihsan, enam prinsip moral berdasarkan Rukun Iman dan lima langkah kejayaan berteraskan Rukun Islam.
Jelas Marhaini, dalam pencarian tersebut, Ari Ginanjar telah melalui pelbagai pengalaman hidup dan setiap apa yang dilalui beliau akan menimbulkan persoalan mengenai matlamat sebenar kehidupannya.
“Pembangunan manusia telah lama menjadi perkara yang sentiasa dibincangkan di Indonesia kerana masalah sosialnya meruncing, jadi satu penyelesaian perlu dicari dengan segera,” kata Marhaini kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Marhaini berkata Ari Ginanjar mengaitkan keseimbangan emosi dan spiritual manusia sebagai jalan untuk menemukan erti kehidupan dan apabila kedua-dua elemen itu terpisah, maka akan wujud masalah dalam diri manusia.
Di dalam salah satu buku tulisan Ari Ginanjar, ESQ : The ESQ Way 165, 1 Ihsan, 6 Rukun Iman dan 5 Rukun Islam, penulis itu mengatakan bahawa manusia harus memiliki konsep duniawi atau kepekaan emosi dan kecerdikan (IQ) yang baik.
“Namun menurutnya, kecerdasan emosilah yang lebih mampu menentukan kejayaan seseorang kerana sering kali terbukti bahawa orang yang memiliki kecerdasan otak sahaja atau memiliki gelaran tinggi, belum tentu akan berjaya,” katanya.
Marhaini berkata, lebih menarik, pengasas ESQ itu turut mengutarakan proses penjernihan emosi dalam latihan ESQ yang diperkenalkan iaitu terdiri daripada tujuh belenggu yang menyebabkan manusia menjadi ‘buta’ sehingga terjerumus dalam kejahatan, kecurangan, kekerasan ataupun kerosakan.
“Kesemua tujuh faktor itu mampu mempengaruhi cara berfikir manusia dan oleh itu kita patut mengenali faktor-faktor keruntuhan itu dan melihatnya secara jelas,” katanya.
Menurut Marhaini, setelah latihan ESQ mula diperkenalkan di Malaysia akhir 2006, seramai 6,500 orang yang terdiri daripada eksekutif muda, profesional dan golongan pembuat keputusan menyertai latihan itu.
Malah, tambah Marhaini, ESQ tidak hanya ditujukan secara eksklusif kepada individu Islam, malah ia sesuai untuk semua individu tanpa mengira agama atau bangsa
Khamis, 30 Julai 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan